top of page
Search
  • Writer's pictureAniqist

Koleksi Bintang dalam buku Interaksi ke Cakerawala

Apakah maksud koleksi bintang Mamangkala, Wonsoi, Soguanggo, Moo-roo dan Tadau dalam buku Interaksi ke Cakerawala?




Setiap bab disusun menggunakan nama bintang. Koleksi bintang yang digunakan ini merupakan nama-nama bintang dalam Bahasa Kadazandusun. Saya amat tertarik dengan penceritaan yang telah dikongsikan dalam live Facebook Sabah Stargazers oleh Dr. Rosalyn Gelunu pada bulan Mei yang lalu. Beliau merupakan seorang penyelidik dan penulis kalendar Kadazandusun dan Rombituon yang satu-satunya ada di Sabah. Beliau membicarakan tentang sejarah kalendar masyarakat pada zaman lalu yang hanya menggunakan bintang sebagai panduan untuk menjalani rutin harian dan mengkaji sebuah petanda. Saya begitu teruja kerana ini adalah sesuatu yang jarang kita dengar pada zaman sekarang lagi-lagi ia sudah tenggelam oleh masa. Pada zaman dahulu, nama-nama bintang ini digunakan untuk mengetahui banyak perkara. Kepada anda yang sedang membelek buku Interaksi ke Cakerawala, saya akan membahas sedikit tentang apa maksud dan kaitan disebalik nama-nama bintang dalam bahasa ibunda suku kaum Sabah ini.


Bab pertama dinamakan sebagai Mamangkala. Mamangkala merupakan buruj mamalatik atau sebuah biduk yang mempunyai bentuk yang sama dengan walatik iaitu perangkap tupai pelanduk dan haiwan yang berkenaan. Mamangkala dikenali sebagai sebuah buruj mamalatik yang sering ditunggu-tunggu oleh masyarakat zaman lalu. Ia dikatakan pembawa rezeki. Bagi bab pertama, puisi-puisi saya lebih kepada kategori romansa. Apa yang saya boleh katakan adalah saya kaitkan kategori puisi romansa seperti memberi sebuah rezeki untuk pembaca merasa keindahan rasa melalui pengalaman yang diberi oleh Tuhan melalui hati.


Bab kedua yang dinamakan Wonsoi merupakan Orion. Ia kelihatan seperti manusia yang sedang menarik busur memanah. Saya melihat Wonsoi boleh digabungkan bersama-sama puisi kategori satire. Bagi bab kedua ini, saya sama ertikan kategori satire dengan Wonsoi kerana apa yang masyarakat lalu menekankan bintang Wonsoi ini sebagai "manusia yang sedang menarik busur memanah" dan saya lihat bahawa ia boleh dikatakan seseorang yang berani mengetengahkan sesuatu isu atau situasi yang ingin dibicarakan agar pihak yang turut bersama-sama mengetahui bahawa orang itu ada pendirian yang tegas tentang sesuatu hal.


Bab ketiga iaitu Soguanggo dikenali sebagai bintang Sirius. Bintang ini wujud apabila musim kemarau menjelang ke muka bumi sesebuah kawasan. Bagi masyarakat dahulu, apabila datangnya musim kemarau, maka terganggulah tanaman padi mereka dan sebagainya. Oleh itu, saya sama ertikan bintang ini dengan kategori penulisan puisi elegi. Elegi adalah kategori yang membawa kesedihan melampau.


Bab keempat iaitu Moo-roo. Sebenarnya ia bukanlah sebuah bintang akan tetapi pada zaman dahulu mereka menggelar semua yang ada di langit adalah bintang. Moo-roo bermaksud planet. Jika Moo-roo ini terlihat jelas di atas langit, maka ada petanda yang mengatakan bahawa akan ada sesuatu yang bakal berlaku. Bagi saya, Moo-roo boleh digabungkan dengan kategori Ode. Kategori ini menunjukkan sesuatu yang luar biasa dan jarang berlaku, oleh itu saya menganggap bahawa perkara-perkara seperti ini perlu diambil berat dan dihargai.


Bab terakhir digelar Tadau. Tadau merupakan matahari, ia juga bukanlah sebuah bintang. Cuma seperti apa yang saya katakan sebelum ini, ia digelar bintang oleh masyarakat dahulu. Bintang ini dipanggil sebagai bintang hidup. Kategori yang paling sesuai untuk Tadau adalah epigram. Kategori ini mengeluarkan tulisan-tulisan yang menghargai apa sahaja pengalaman yang diperoleh.


Pada mulanya saya ingin menggunakan nama-nama bintang daripada Bahasa Yunani tetapi setelah mendengar penjelasan tentang bintang-bintang dalam Bahasa Kadazandusun oleh Dr Rosalyn Gelunu, secara tidak langsung saya terus menggunakan ia sebagai koleksi bintang dalam buku Interaksi ke Cakerawala. Rasanya koleksi bintang saya lebih hidup dari sebelum.


Kelmarin saya menghubungi Dr Rosalyn Gelunu di platform media sosial untuk memberitahu bahawa saya menggunakan istilah bintang-bintang dalam Bahasa Kadazandusun. Sejujurnya saya sangat teruja dan bangga menghubungi seorang yang hebat pengetahuannya tentang sejarah kalendar suku kaum yang ada di Sabah iaitu Kadazandusun dan mengambil tahu tentang sejarah yang jarang-jarang orang tahu pada zaman sekarang, bahkan saya juga tidak tahu langsung tentangnya. Harapnya saya dapat berjumpa dengan Dr Rosalyn pada masa akan datang untuk mengetahui lebih banyak lagi perkara-perkara seperti ini.

66 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page